Litigasi Konvensyen Genosid

Amerika Syarikat

Salah satu tuduhan genosid yang pertama dikemukakan kepada PBB selepas Konvensyen itu mula berkuat kuasa adalah berkenaan layanan terhadap warga kulit hitam Amerika. Kongres Hak Sivil merangka petisyen setebal 237 muka surat yang berhujah bahawa walaupun sudah selepas 1945, Amerika Syarikat telah bertanggungjawab atas ratusan kematian yang salah di sisi dan di luar undang-undang, serta banyak lagi perbuatan penganiayaan yang dianggap sebagai genosid. Pemimpin-pemimpin masyarakat Kulit Hitam dan aktivis sayap kiri William Patterson, Paul Robeson dan W. E. B. Du Bois membentangkan petisyen ini kepada PBB pada Disember 1951. Ia ditolak kerana ia menyalahi niat sebenar perjanjian itu.[18] Tuduhan-tuduhan di bawah We Charge Genocide melibatkan penghukumgantungan lebih daripada 10,000 warga Afrika Amerika, dengan purata lebih daripada 100 setahun. Jumlah sebenar mangsa tidak dapat dipastikan ketika itu kerana terdapat kes-kes bunuh yang tidak dilaporkan.[19]

Bekas Yugoslavia

Negara dan pihak-pihak pertama yang disabitkan melanggar Konvensyen Genosid ialah Serbia dan Montenegro, dan ramai pemimpin Serb Bosnia. Dalam Bosnia dan Herzegovina lwn Serbia dan Montenegro, Mahkamah Keadilan Antarabangsa mengeluarkan penghakimannya pada 26 Februari 2007. Serbia didapati bersih daripada penglibatan langsung dalam genosid semasa perang Bosnia. Dapatan Tribunal Antarabangsa telah meneliti dua tuduhan kejadian genosid, satunya kempen pembersihan etnik 1992 di bandar-bandar di seluruh Bosnia, keduanya sabitan pembunuhan beramai-ramai di Srebrenica pada 1995. Tribunal mendapati, "Tentera Serb Bosnia telah melakukan genosid, mereka menyasarkan kepupusan 40,000 orang Islam Bosnia di Srebrenica ... kamar perbicaraan merujuk kepada jenayah [mereka] dengan nama yang sesuai, genosid ..." Akan tetapi, tiada individu yang disabit atas pembersihan etnik 1992 itu. Beberapa mahkamah negara dan kerajaan mengatakan bahawa peristiwa ini memenuhi kriteria genosid. ICTY juga mendapati perbuatan dan niat untuk memusnahkan telah dipenuhi tetapi niat khusus (dolus specialis) untuk melakukan genosid masih dibahaskan dan dibawa ke MICT (Mekanisme Baki Kes Antarabangsa untuk Tribunal Jenayah, mahkamah jenayah perang PBB).[20][21] Akhirnya MICT memutuskan bahawa Belgrade telah melanggar undang-undang antarabangsa kerana gagal menghalang genosid Srebrenica 1995, dan kerana gagal membicarakan atau memindahkan orang-orang yang dituduh melakukannya ke ICTY. Ini melanggar kewajipan di bawah Perkara I dan VI Konvensyen Genosid, khususnya berkenaan Jeneral Ratko Mladić.[22][23]

Myanmar

Myanmar telah dituduh melakukan genosid terhadap komuniti Rohingya di Negeri Rakhine selepas kira-kira 800,000 Rohingya melarikan diri selepas diancam kerajaan dengan senjata ke negara jiran Bangladesh pada 2016 dan 2017, manakala kampung asal mereka dibakar dengan sistematik. Mahkamah Keadilan Antarabangsa telah memberikan pekeliling pertamanya pada 2018 meminta Myanmar melindungi kaum Rohingya daripada genosid.[24][25][26] Kerajaan awam Myanmar telah diguling tentera pada 1 Februari 2021; memandangkan tentera Myanmar pelaku utama genosid tersebut, rampasan kuasa itu telah membuatkan usaha ICJ semakin mencabar.

Rusia

Tuduhan Rusia bahawa Ukraine melakukan genosid

Pada Februari 2022, Rusia menceroboh Ukraine, mengatakan bahawa ia bertindak, antara sebab-sebabnya, untuk melindungi orang Ukraine yang penutur Rusia daripada dibunuh beramai-ramai. Tuduhan Rusia yang tidak berasas dan palsu ini telah dikecam oleh berbagai-bagai pihak, dan pakar penyelidikan genosid memanggilnya tuduhan dalam cermin, taktik hasutan genosid yang kuat dan pernah digunakan dalam sejarah.[27]

Kekejaman Rusia di Ukraine

Tentera Rusia melakukan banyak kekejaman dan jenayah perang di Ukraine, termasuk kesemua lima tindakan yang berpotensi dikira genosid disenaraikan dalam Konvensyen Genosid. Kanada, Czechia, Estonia, Ireland, Latvia, Lithuania, Poland dan Ukraine telah menuduh Rusia melakukan genosid. Pada April 2022, Genocide Watch memberi amaran bahawa mungkin ada genosid berlaku di Ukraine.[28][29] Laporan Mei 2022 oleh 35 pakar undang-undang dan genosid menerbitkan laporan bahawa Rusia telah melanggar Konvensyen Genocide dengan menggalakkan dan menggesa orang ramai untuk melakukan genosid secara terbuka. Ia juga mengatakan bahawa tindakan zalim tentera Rusia menunjukkan bahawa mereka mahu memusnahkan rakyat Ukraine, bermakna kaum mereka dalam risiko untuk dibasmi. Maka negara-negara penandatangan wajib menghalangnya.[30][27]

Israel

Pada Disember 2023, Afrika Selatan secara rasminya menuduh Israel melanggar Konvensyen Genosid, memfailkan kes Afrika Selatan lwn Israel (Konvensyen Genosid), disebabkan tindakan-tindakan Israel semasa Perang Israel-Palestin. Selain memulakan proses litigasi, Afrika Selatan juga meminta Mahkamah Keadilan Antarabangsa tuntut Israel menghentikan operasi ketenteraan mereka di Genting Gaza sebagai langkah sementara.[31][32]

Rujukan

WikiPedia: Konvensyen Genosid https://legal.un.org/avl/pdf/ha/cppcg/cppcg_ph_e.p... https://legal.un.org/avl/ha/cppcg/cppcg.html https://legal.un.org/avl/historicarchives.html https://undocs.org/en/A/RES/96(I) https://www.un.org/en/genocideprevention/genocide.... https://archive.org/details/specterofgenocid00robe https://archive.org/details/specterofgenocid00robe... https://books.google.com/books?id=29u-vt_KgGEC&q=g... https://books.google.com/books?id=oBpEVAY0SqQC&pg=... https://www.getty.edu/publications/pdfs/CulturalGe...